Cerpen: Melankolik Nasi Telur Goreng
“Assalamualaikum...honey, I’m home!!”
Aku terdengar sayup suara yang amat dikenali itu. Tangan kananku membetulkan sanggul rambut di samping tangan kiriku menolak kuali ke dalam sinki. Aku menyusup keluar melalui pintu dapur dan melihat si suami baru sahaja menutup pintu peti surat. Lalu dia berjalan ke arah aku sambil tangannya menyelak satu persatu helaian surat yang dikirim. Pantas aku ke pintu—surat itu ku sentap dengan tangan kiri—dan menyalam tangannya.
“Baru balik, bang?” kataku sambil mencium salam dia. Helaian bil berwarna merah dalam celahan surat itu aku sorokkan di belakang dan aku lontarkannya jauh dari pandangan. Lalu menariknya ke meja makan.
Bang, tengok...Dila dah siap masak untuk abang,” aku membuka tudung saji. Sepinggan hidangan lengkap, masih berasap; berserta dua gelas Teh-O.
“Amboi, Omuri rice...” katanya. Omuri rice adalah Nasi Goreng Pattaya versi Jepun, pastinya membuatkan dia tersenyum. Aku tau sangat apa kegemaran weaboo macam beliau. Tambah lagi bila aku semprotkan sos cili berbentuk hati di atas balutan telur itu. Hihi!
“Masak sendiri ke?”
“Tak, Orihime tolong masakkan.” Aku sindir balik. Dah tu siapa lagi dalam rumah ni. Takkan toyol kot masak. Toyol mana tahu masak makanan Jepun.
Dia ketawa mengekeh lalu membelah balutan telur itu dengan sudu, lalu disuap satu. Dikuis-kuis nasi itu, hanya ada sedikit cebisan ayam dan jagung manis—tapi perasanya masih cukup. “Oishii,” pujinya, sebelum menyambung “ni mesti letak Sesedap Rasa ni, tak pun MSG.”
“Amboi, dah lama kot tak ada Ajinomoto dalam rumah ni. Tu umami je dalam nasi tu. Perasa asli daripada komponen glutamat natural, wujud dalam makanan seperti tomato dan seaweed,” aku bersyarah. Kemain nak menempelak kemahiran masakan aku. Aku tengok semua lima puluh episod Yakitate! Japan, tahu.
Dia seperti biasa tidak menghiraukan aku semasa makan. Satu demi satu sudu dihalakan ke mulut. Sambil itu dia bercerita tentang hal-ehwal kerjanya yang sentiasa tidak menang tangan. Tentang Belanjawan 2012 dan gajinya sebagai hamba konglomerat swasta yang tidak naik-naik. Tentang peluang membuat pelaburan baru dalam perniagaan rakan yang berbau ala-ala MLM. Aku senyum dan dengarkan sahaja. Apa peluang perniagaan, pada masa ini, sambar sahajalah. Bak kata orang Venezuela, the poor can’t choose.
“Eh jap, dah makan ke Dila ni?” dia berhenti membebel sebentar, dan tanya aku.
“Dah, tunggu abang je.”
“Betul ni?”
“Betul.”
“Masyaallah, beginilah isteri solehah, taknak makan bersama suami. Abang bangga denganmu.”
Dalam lima minit kemudian dia berhenti makan. Kulihat nasi tadi masih ada kurang satu pertiga lagi. Diletaknya sudu dan garpu di tepi, lalu mengusap perutnya.
“Kenapa bang? Baby dah tendang ke?” aku tanya.
Dilukunya aku sebiji. “Dila ni loyar buruk betei. Abang kenyang lah.”
“La abang ni...penat tau masak. Kata tadi sedap, habiskanlah.”
“Bukan abang taknak Dila, perut abang dah memboyot ni. Tadi dekat pejabat si Haji Samri bawa pulut kuning dengan rendang daging, nazar katanya. Cucu dia beranak kembar. Abang makan sampai habis satu tupperware, maklumlah jarang dapat pulut kuning ni....” dia buat muka ralat dengan aku. Sambil angkat pinggan nak bawa ke dapur. Pesen nak pujuk lettew.
“Takpe bang, takpe,” aku katakan sambil mengambil pinggan itu daripada tangannya. “Abang pergi naik dulu, siap sedia nak pergi masjid. Kejap lagi nak Maghrib tu.” Aku lihat dia naik atas lalu menghilang daripada pandangan. Hah! Peluang aku sudah tiba! Pantas aku mengambil sudu dan...
“Dila...Dila nampak tak kain pelikat hijau abang....Eh!” suamiku yang turun semula ke bawah terhenti di tangga.
Aku pandang kepadanya dengan mulut penuh dengan nasi Omurice tadi, pipi kembung ala-ala hamster menyimpan kuaci.
“Dila...” katanya tergamam.
“Erghh...” aku cuba bersuara dengan mulut penuh. Tapi tak mampu. Jadi aku kunyah pantas di hadapannya dengan penuh rasa malu.
“Dila....tak makan lagi ya?” tanyanya perlahan.
“Err...” aku telan butiran nasi terakhir. “Bukan tak makan lagi bang, kesian nasi ni. Nanti dia menangis sorang-sorang terkenang diri dia yang tak dimakan. Lagipun membazir tu tak baik. Bak kata pepatah Raja Farah, Sebutir nasi adalah setitik peluh petani.”
“Iyolah tu.”
“Iyolah bang. Kenapa, salah ke?” Saja aku follow suit dia cakap Nogori. Padahal orang KL kot.
“Tak de la salah, cuma...nampak gelojoh je.”
“Saya memang gelojoh bang, tak tau ke?”
“Haih, jangan le buat lawak-lawak macam tu Dila. Abang nak gi solat ni....” Dia tergelak kecil. Lalu naik atas semula mencari kain pelekatnya.
Setelah butiran terakhir nasi itu habis, aku bawa ia ke dapur. Lalu diletakkan di atas kuali tadi yang belum sempat dibasuh. Kemudian, aku mengemas barang masakan. Bekas telur yang sudah kosong dibuang; bekas bawang yang hanya tinggal seulas di dalamnya, diketuk-ketuk buang habuk. Tong beras pula aku buka dan lihat di dalamnya. Dasar tong beras itu licin –hanya tinggal lebih kurang segenggam dua beras sahaja.
“Tiga hari je. Tiga hari je lagi, nak masuk gaji....” aku bermonolog, separa optimis.
(pictures from here and here)
Ulasan
dill.
ok aku gelak.
hahaha part tu klaka . btw, sweet entry ni :)
@syaza: sebab Dilla xnak bagitau. takut susahkan suami...
@fahdeela: uih, nama nak dekat2 dah. ewah!
isteri tu x makan lagi, sebab tu dia makan lebihan nasi omurice tadi.
@eyka: me too! BTW cuba tgk link "here" kat hujung cerpen tu. resipi dia ada kat website tu. jom2 masak!
@sha: ala~ *nah tisu*
@HYDE: yakitate japan memang win! makan roti pun boleh high macam orang makan weed. kah2!
@aebob: kihkih. itulah inspirasinya.
@Juno: sweet... and spicy. itulah omurice!
@ucu: aaa jangan nangis. tu cuma pandangan realiti kehidupan. bukan salah suami @isteri, cuma nak menggambarkan kehidupan pasangan muda lower middle-class kat KL yg kadangkala tak cukup nak makan...
@Arez: TQ! haha...tu kalau buat kat suami betul, bukan takat luku je, lempang baik punya LOL
baiknye dila tu..pikir suami dulu baru pikir pasal diri sendiri :(
kalau aku masuk gaji je mtk siap2 duit brg dapur kat laki..
tanggungjawab die pe..kann?
errr? tak payah kata middle-class KL laaa, aku dok kuantan ni pon, time2 ujung gaji cemni mmg ikat perot. uffhh~
tapi aku suka jugak!!! dila sangat sweet!!!!!