7 April 2017

Self Fulfilling Prophecy


"Cik Pah, anak kita dua ni, Kamar dan Maya - sudah lima tahun kenal. Cik Pah pun kenal saya, dan saya kenal Cik Pah. Apa kata, kita kahwin kan saja mereka berdua. Sebelum mereka buat perkara lebih teruk," ucap ibu itu sambil menghirup teh.

"Tapi Kak Jun...tak boleh tunggu ke. Maya tu kecik lagi, lima belas," jawab Cik Pah.

Bayangkan ini mereka. ni tv3 punya sinetron apa entah.
"Kecik apanya, dah akil baligh dah! Bila-bila masa je boleh berbadan dua, tahu. Sekurang-kurangnya kalau ada terlajak, tak ada orang mengata."

Cik Pah meraup mukanya, berat hati untuk melepaskan si kecilnya Maya. Tapi lebih berat, kegusarannya terhadap generasi anak remaja sekarang, macam Maya; pergerakan mereka susah nak dijangka. Namun, apakah ini solusi sebenar?


Entahlah. Bagi aku, yang belajar dalam aliran sains ni- aku akan komen sebanyak yang aku tahu, dari sudut sains.

Benar, anak gadis berkembang secara reproduktif seawal 9 tahun.

Dan benar juga, anak gadis terus hanya berhenti membesar pada usia 16 tahun.

Ya, epidemik seks luar nikah berleluasa.

Ya, perkahwinan boleh jadi salah satu cara penyelesaian.

Tapi yang kita risaukan di sini ialah mengandung pada usia muda. Bayi dalam perut perlu nutrien untuk membesar. Sedangkan ibu mengandung yang dewasa pun kadangkala kena simpul biawak, sakit gigi yang kuat, disebabkan kekurangan mineral. Tu belum lagi masalah spina bifida sebab tak cukup asid folik. Inikan pulak ibu yang remaja. Anak, ibu, masing-masing berebut nutrien. Ditambah pula dengan gizi yang tak seimbang (biasanya puncanya daripada masalah sosioekonomi dan pendidikan yang selalu mengikuti pasangan kahwin muda).
Kalau ada yang bercita-cita nak kahwin muda tu, boleh lah bagi barbie ni untuk prektis feeling-feeling ceasarian.

Ini belum lagi kisah hormon yang sudah sedia huru-hara semasa zaman remaja. Ditambah lagi huru-hara semasa mengandung dan melahirkan. Emosi semua bercelaru. Kalau pasangan penyabar, tak apa. Kalau pasangan sama-sama darah muda? Silap haribulan ada kes keganasan rumahtangga. Apa nasib si kecil tu nanti.

Kau nak selamatkan anak zaman sekarang. Tapi kau tak fikirkan cara selamatkan anak masa akan datang.

Solusi ini sebenarnya, bagi aku, lebih kepada damage control dan bukan pencegahan penuh. Seperti kita melekatkan plaster, tika patahnya tangan.

Ambil contoh negara Iceland - ha, banyak yang menggunakan contoh ini sebenarnya - satu negara yang paling berjaya dalam mengurangkan masalah sosial remaja. Bayangkan, di akhir tahun 90an, arak, dadah, pergaulan bebas berleluasa, sampaikan nak keluar malam pun tak berani. Sekarang, keluar malam - tak ada anak remaja berpeleseran di tepi jalan. Atau main baling batu ke kereta, serta main basikal buat lajak. Opp!

Apa yang menjadi hipotesis mereka semasa mengkaji anak remaja ialah - kalau remaja ni ketagih sesuatu yang buruk (dadah, seks, arak), kita boleh tukar objek ketagihan tu kepada benda lain. Nak apa adik-adik? Nak belajar muzik? Jom. Nak belajar main bola? Jom. Nak belajar berenang? Ha, kami ada buat kelas dekat kolam renang awam, jom.
Kelab bola remaja Iceland, kemain power tengok rambut pun dah super saiya.

Ya, mereka juga ada buat undang-undang mengharamkan pembelian rokok, arak dan membuat curfew untuk para remaja, macam kita juga. Tapi mereka buat ini sebagai sampingan saja. Yang dipentingkan ialah semua "aktiviti alternatif" di atas. Buat apa nak berpeleseran di tepi jalan dengan makwe kalau boleh pergi main bola? Buat apa nak curi-curi minum arak belakang blok kalau boleh lepak belajar karate dengan cikgu?

So apa aku cerita ni sebenarnya? Adakah aku nak suruh pembaca semua pergi buat demonstrasi suruh kerajaan kita bina kolam awam taman skate semua? Tak, itu biar brader politikus yang setel. Aku sebenarnya nak cakap pasal korang. Korang yang bakal jadi ibu bapak ni (dan korang yang remaja juga, kalau ada), pahamkan.

Take control of your own lives. Kau ada pilihan. Isi hidup kau, diri kau, dan keluarga kau dengan benda yang berfaedah. Bawa anak-anak lepak public library lepas sekolah. Ada taman tasik dekat taman sebelah, jom bawa pusing-pusing naik basikal. Join silat, karate, wushu, kalaripayat kalau ada, try je lah (mana tau boleh jadi hero tangkap peragut). Lari maraton keliling taman sampai kaki menggigil. Main bolasepak depan rumah pun jadi (mana tahu boleh jadi pelapis negara). Yang penting, aktiviti tu buat kau puas hati dan penat. Balik bilik terus tidur, tak fikir apa lagi.


Mungkin kau rasa macam aneh, solusi untuk pergaulan bebas ialah galakkan remaja buat aktiviti lain. Tapi tu lah dia. Anak-anak muda ni bukan keluar-keluar dari perut terus fikir kahwin is #lifegoals. Itu kau orang yang sudukan sebenarnya, dengan kisah-kisah cinta jiwang dan kahwin muda di TV.  Ha!

Kita ni berfikir seolah-olah semua remaja ni nak seks. Atau fikir seks sepanjang masa. Jadinya solusi yang ada ialah kahwinkan awal. Tapi kau pernah jadi remaja kan? Aku pun pernah jadi remaja, kan?

Tak ada lah pulak aku fikir pasal seks sepanjang masa.
Bagi aku masalah ni cuma puncak aisberg. Kalau ada masalah pergaulan seks dalam suatu masyarakat, tentu ada combo dengan masalah lain, dadah, gengsterisme, ketagihan arak, lumba haram dan lain-lain. Ini semua kau boleh nampak sendiri dalam masyarakat kita, kan?

Jaga anak muda kita baik-baik. Tak rugi pun laburkan lebih sikit masa dan tenaga. Sebab dia masa depan kita. 

A comfortable old age is the reward of a well-spent youth. Instead of its bringing sad and melancholy prospects of decay, it would give us hopes of eternal youth in a better world - -Maurice Chevalier

25 Mac 2017

Beauty and The Beast



Pada saat ini, aku telahpun menonton Beauty and The Beast (tak, jangan tanya aku tonton di mana).
Cuma, aku harap yang di luar sana, despite all the controversy, masih cukup berminat untuk menontonnya, sebuah kisah princess tanpa tiara tapi jiwanya lebih regal daripada royalist di luar sana.

Dan juga--sebab ia relatable.

Aku tak pasti kenapa- tapi tika aku melihat Belle, aku terbayang beliau seperti gadis pendiam di kolej, yang sentiasa duduk di kerusi depan dewan kuliah; yang tak pernah ada kekasih sepanjang empat tahun studi; yang matanya tertancap kepada buku sepanjang hari dan tangannya bersulam dengan assignment papers tiap malam, yang hidupnya hanya untuk menyedut sebanyak mungkin ilmu sebelum meninggalkan menara gading.

And she did it wonderfully, too.

Dan Gaston - ha, Gaston, dia tu macam abang MPP kat kolej - berkarisma, pandai berkata-kata, kacak dan jadi kegilaan semua junior, tapi tiap sem cukup-cukup makan 1.57. Dia khabar dirinya penuh dengan ilmu, tapi hakikatnya dia penuh dengan retorik; setiap kali rakyat marhaen (baca: student biasa lain) memberitahu masalah mereka dia lontarkan ucapan berdegar-degar dan tindakan yang gung-ho tapi segala kerja sebenar, jawatankuasa yang selesaikan. Ah, dan dia juga acapkali bertukar makwe--kerana dia terlalu besar untuk disimpan oleh seorang gadis saja..

Dan Beast - Beast seperti lelaki yang duduk di baris hujung dalam kelas anda, dengan selipar lusuh dan seluar yang telah dipakai empat puluh ribu kali, dia juga hadir di setiap kelas dengan wajah mencuka dan bibir terkunci.

Tapi kalau kau beri dia peluang - duduk minum kopi satu hari dengan dia, kau tahu - he was one of the most intelligent, most witty, most supercalifragilisticexpialidocious person yang kau pernah jumpa.

Dan kau akhirnya temui bahagia, biarpun baru kenalinya dalam saat pertama.



9 Februari 2017

Shipping yang tidak lagi free.



"Tok Kadi semua cuti panjang ke? Nikah kan aje lah Neelofa Fatah Amin ni. Dia punya menggelenyar ni kalau dibiarkan seluruh tamadun manusia boleh jadi bengap," kata seorang writer cum takafulman, Fdaus Ahmad.



Umumnya ramai dah mula menyampah dengan hashtag #lofattah yang dipamerkan peminat mereka berdua di sosial media. Tuan punya badan sendiri pun, sudah tidak lagi berminat mengulas perhubungan mereka. Akan tetapi, peminat masih berharap, malah bersolat hajat lagi. Apa semua kegilaan ini?


Shipping.

Biasanya perkataan 'shipping' merujuk kepada perkhidmatan penghantaran kurier, tetapi 'Shipping' yang aku maksudkan ini ialah kependekan daripada 'relationship-ping' -- iaitu tindakan memasang-masang dua orang karekter yang digemari, biasanya oleh peminat siri TV, novel atau komik. Terma "Shipping" mula digunakan oleh fans Scully dan Mulder (X-files, bagi yang lahir di tahun 2000-an) menggambarkan keserasian mereka dalam keseluruhan siri X-Files.

Obsesi terhadap keserasian dua watak ini menyebabkan wujudnya laman web, blog, video dedikasi youtube, forum, kelab peminat, dan fangirl/fanboy stalker yang obses kepada perhubungan mereka berdua. Tidak dinafikan juga...aku pun meminati dua orang ni--inilah siri yang menghabiskan usia kanak-kanak aku (cuma aku tak sampai tahap obses lah. Zaman tu mana aku tau cinta!) . Namun setelah menginjak dewasa, aku faham bahawa hubungan Scully-Mulder hanyalah rekaan fiksyen nukilan ahli panel penulis skrip.
Ejen FBI yang paling setia lah kiranya ni.


Begitu juga shipping #lofattah. Mengikut pemerhatian aku, kegilaan ini bermula dengan kegilaan siri Surihati Mr Pilot - di mana kisah seorang gadis putus cinta, Warda (Neelofa) diubati hatinya oleh seorang pilot kacak Ejaz (Fattah). Jalan cerita kisah itu, serta keserasian mereka -- dan the fact that mereka juga sering kelihatan berdua di luar lokasi - menyebabkan peminat "percaya" ada cinta wujud di antara mereka. Biarpun salah seorang sudah mengaku bercinta dengan orang lain!

Yang menjadi kekaguman aku ialah--mengapa warga yang aku anggap sudah dewasa dan matang--masih menghabiskan masa mereka shipping dengan rakan-rakan. Buktinya, antara begitu banyak IG/ FB page yang didedikasikan untuk hashtag lofattah, ada juga yang diuruskan kaum ibu dan warga profesional!

Salah satu insta yang didedikasikan untuk kegilaan fatah-lofa. Sila cuba lagi, Nora bagi empat bintang.

Mengapa sampai ke tahap ini?

Yang kita perlu faham ialah -- media TV, seperti mana media seni lain -- adalah satu perniagaan. Lebih lama mereka dapat menarik minat anda untuk satu-satu perkara--lebih lama mereka dapat menarik minat anda untuk mengkonsumasi produk yang berkaitan dengannya. Pengiklanan, meet and greetproduct placement. Clickbait gossip articles, dan online streaming (walaupun menontonnya free, tapi pihak media mendapat hasil dari segi iklan website). Tu belum lagi side-products yang dibawakan oleh pihak lain. Cuba ingat balik- berapa banyak produk yang dijual atas nama hubungan Warda-Ejaz. Baju Warda. Jam Warda. Tudung Warda. Baju Pilot ala mini-Ejaz. 



Mungkin lepas ini jika shipping terhadap Lofattah masih trendy--akan ada Mr Pilot special Raya!



Inilah dia baju Warda kalau korang nak tahu. Ya benarlah kata orang tua, kalau si jelita pakai guni pun boleh lawa.


Media pun bijak--selagi mereka boleh "drag", mereka akan "drag" drama perhubungan ini sepanjang mungkin. Yang menjadi mangsa ialah pelakon itu sendiri, kerana dua-dua pun kelihatan seperti tak berapa hendak serasi, tidak seperti dalam siri tersebut. Cuma peminat yang masih berharap, hingga menjalankan sesi solat hajat, dengarnyalah.

OK, mungkin ada yang sudah faham tentang niat media untuk "merelakan" shipping ni berlaku. Tapi kenapa pihak penonton juga "merelakan"diri mereka untuk menjadi obses?

Eskapism. 

Macam Madame Bovary dan kebosanannya dengan hidup di pekan, lalu mencipta keindahan sendiri berdasarkan impian yang disulam melalui novel-novel romantik yang dibacanya. Dan akhirnya Madame Bovary kecundang sendiri di bawah cinta lelaki kacak yang tidak kesampaian dan hutang yang menggunung daripada pakaian dan barang kemas yang dibelinya.  (BTW- ada yang kata Madame Bovary ni kisah betul. Tak, cuma novel yang dijadikan filem.) 
Kalau korang nak tengok trailer dia, boleh klik youtube ni.
Eskapism ni indah, aku faham. Lagi-lagi bila hidup kebosanan--hari-hari menghadap kerja yang sama, muka yang sama, perangai yang sama, sekali sekala masuk dalam dunia fantasi yang tersusun cantik, memang rasa bahagia. Cuma, hati-hatilah dalam melihat kebahagiaan yang hanya dicipta oleh nukilan indah para penulis layar. 

Penulis layar pun macam kau juga -- orang biasa yang dahagakan escape. 




5 Februari 2017

Lima Minit yang Sia-Sia

Masa awal-awal kahwin dulu, aku berkesempatan menyertai kegiatan dakwah tablik. Dulu la, dulu. Kalau nak tahu tablik ni, selain daripada ketuk-ketuk pintu walaupun diorang tau korang tengah pura pura takde kat dalam, tablik juga ada 3 hari "bootcamp" untuk kaum-kaum wanita berkumpul dan belajar hadis, ibadat solat dan hafal surah-surah lazim.

Dan dalam tiga hari "bootcamp" ni (maaf aku lupa namanya, kadang-kadang aku tergeliat lidah sikit sebut Bahasa Arab, kaum-kaum wanita akan terpisah dari suami / anak lelaki mereka, kecuali pada sesi pertemuan empat mata (ni pun aku lupa nama dia, tolong drop comment kalau korang tahu!). Dalam sesi ni, setiap lelaki akan masuk bilik/ruang kosong, dan borak dengan bini / mak mereka lebih kurang lima enam minit. Ada yang lebih ada yang kurang.

Cuma yang pentingnya, kalau dipanggil engko kena masuk. Tak ada merajuk-rajuk. Dan dalam lima minit tu, kau KENA bercakap. Awal-awal dulu, aku tak biasa lalu aku tanya mereka yang lebih senior apa yang perlu dibualkan.

"Engko cakap la apa-apa -- tanya khabar, tanya apa buat harini, tanya sihat ke tak, tanya anak OK ke, tanya ada benda nak kirim ke tak, dia pun tanya engko benda yang sama, borak jelah," gitu katanya.

Kalau budak-budak yang baru kahwin tu, macam awkward sikit lah masa berborak. Senior suruh tanya itu, itulah yang dia tanya. Tak adventurous betul. Yang senior biasalah, meleret-leret pula boraknya. Ketawa-ketawa pun ada. Apa-apapun, yang penting, semuanya mesti selesai borak dengan sengih-sengih. Jarang la aku tengok lepas borak teriak macam dah apokalips.

Sesungguhnya, selepas tamatnya hubungan aku dengan geng tablik ni, inilah antara perkara yang paling bernilai aku dapat -- kewajiban KOMUNIKASI dalam perhubungan. Lima minit, tak ada smartphone tak ada TV--cuma kau dan dia bertenang mata. Dia cerita kau dengar; kau cerita dia dengar. Lima minit macam pendek kan? Tapi sebenarnya dalam dunia kerja kita ni, lima minit macam ni pun susah nak dapat.

Kawan aku ada yang mengadu. Balik-balik tengok, sorang terbongkang atas sofa main telefon. Tak bercakap apa, sorang lagi masuk bilik pergi mandi. Lepas mandi sambung tengok drama bersiri kegemaran. Sorang lagi main game. Tengah malam, mengantuk. dua-dua tidur.

Besok sambung lagi.

Mana nak bercakapnya?

Lima minit pun jadilah.

Berapa kali kita lima minit dengan mak atau bini / laki kita harini?