Tujuh Puluh Tujuh Perpuluhan Lima
“Apaaaa….naik lagi TIGA?”
Hayley menjerit sakan. Dia hampir terlompat daripada skala penimbang digital itu. Ah, adakah salah kalibrasi? Ah, tak mungkin, baru semalam sudah setting. Diperiksanya bateri. Elok lagi. Lalu dia naik. Kemudian dia melangkah turun, kemudian naik semula. Turun, naik semula.
Betul, nombornya memang betul. Memang sah, sudah naik berat badan.
Tidak! Getus Hayley dalam hati. Tambah lagi tiga—dengan ketinggiannya 5’ 4’’, sungguh tak sesuai. Dia tercari-cari apakah salahnya. Senaman? Memang tak pernah tinggal. Diet? Memang terjaga. Dah berapa kurun tak datang ke McDonalds dan KFC. Tapi—ah! Coklat! Semalam, sepupunya Cassandra datang ke rumah. Dia hulur coklat Belgium. Tanpa berfikir panjang, Hayley menelan sebungkus.
Hyaley duduk bergulung di hujung katil. Perasaannya cukup down sekali. Air matanya bergenang. Malu! Malu sudah naik berat badan. Hodohlah rupa diri selepas ini. Macam taknak pergi kelas la hari ni. Tapi dah lama pulak ponteng. Manakan tidaknya asyik tak larat.
“Tu la orang gemuk, asyik tak larat saja!” Hayley monolog kepada diri sendiri. Sungguh tak ada mood hendak ke sekolah. Malu dengan pandangan sinis orang. Patutlah semenjak dua menjak ni ramai yang menjelingnya di kelas. Salah sendiri juga, orang suruh timbang berat badan hari-hari, dia timbang sekali seminggu saja. Macamana nak motivasi untuk kuruskan berat badan.
Hayley teringatkan rakan-rakan onlinenya. Ah, mereka yang turut sama mengangkat sumpah untuk mengurangkan berat badan. Sama-sama memotivasikan diri untuk kurus. Mesti mereka ada cara untuk menenangkan jiwa lara ini. Lalu dia melog masuk ke komputer, dan masuk ke forum Ana’s Diet Tips, forum menguruskan badan tersebut.
Namun ketika tangannya diletakkan pada papan kekunci, dia segan pula hendak menulis luahan hati. “Kalau mereka ketawakan aku bagaimana?” fikirnya. Dia membayangkan apa yang rakannya akan tulis buatnya. Memang memalukan apabila ahli kumpulan melanggar sumpah janji sendiri. Silap haribulan dianggap sebagai pembelot kerana tidak menyokong misi dan visi kumpulan. Akan ada juga rakan-rakan yang suka bersaing, yang akan gembira melihat dia jatuh dari misinya. Kalau dia diejek gemuk dan tembam oleh mereka, maka berjujuranlah airmatanya lagi. Aduh!
Tidak jadi menulis topik baru, Hayley menekan-nekan tetikusnya untuk ke entri topik lama. Nasib baik, ada satu topik lama, sebiji masalahnya dengan dia.
Olan_90 menulis:
“Tolong kawan-kawan. Saya makan aiskrim coklat pagi tadi. Macamana ni? Berat saya pasti naik T_T”
Hayley skrol tetikus ke bawah, melihat respons ahli forum.
“Lah...siapa suruh awak makan? Kan group kita ni, Ana’s Diet Tips memang HARAMKAN aiskrim. Lagi-lagi yang perisa coklat.”
Olan_90 menjawab. “Nak buat macamana, mak yang hulur. Dia kata saya dah lama tak makan...”
“Mak kamu ni, memang tak sokong langsung! Kadang-kadang keluarga kitalah musuh ketat kita dalam diet. Lepas ni buat tak tahu apa dia cakap OK.”
“Kamu ni, Olan. Buat-buat makan je la depan dia. Lepastu bila dia tak ada, buang la.”
“Tapi nanti dia marah...lagipun aiskrim coklat tu cukup menggoda...” jawab Olan_90.
“Coklat tu musuh wanita dalam selimut tahu tak? Memang menggemukkan, tetapi afrodisiak kepada wanita.”
“Rupa kau dah macam ni ke? Hahaha..”(ahli ini menyelitkan gambar badak sumbu. Kejam!)
Hayley mula berasa panas dan berpeluh. Eh, kalaulah berpeluh macamni boleh turunkan berat badan...kan senang. Tapi sindiran macam ni tak kemana. Lagi sakitkan hati adalah. Nanti jadi depression satu hal pulak. Lalu Hayley skrol turun ke bawah, melangkau semua komen menyakitkan hati dan membaca komen-komen balasan yang OK saja.
“Jangan risau, baru satu kali. Lepas ni jangan makan langsung OK?”
“Mana boleh cakap ‘satu kali tak apa’! Nanti kalau asyik ‘tak apa’, tau-tau aje badan dah naik balik. Pergi excercise lebih sikit hari ni. Harap-harap semua lemak tu dah habis terbakar.”
“Alah, saya tengok profil kamu, badan kamu dah cukup slim dah pun.”
“Minggu lepas saya ada post tips dalam topik sama. Ni [link] dia. Selamat mencuba! ”
Hayley klik link itu dan senyum. Banyak betul tips purging dan diet restriction. Ok, boleh cuba. Kemudian dia kembali ke post asal tadi. Di halaman seterusnya Olan_90 menulis lagi.
“Kawan-kawan semua, saya dah tak berani la timbang berat. Nak tengok cermin pun tak sanggup. Saya sangat kecewa dengan kelemahan diri saya.”
Di bawah post ini ada perenggan jawapan yang amat panjang daripada seorang wanita, Jamie. Moderator rupanya.
“Olan, kamu jangan risau. Memang lazim perjuangan ahli-ahli kumpulan kita ini banyak dugaan. Lagi-lagi orang yang mengatakan kurus itu tidak sihat dan sebagainya. Orang yang makan depan kita dengan lahap, dan mengatakan kita tak makan kerana tidak syukur kepada rezeki makanan yang Tuhan beri. Mereka sentiasa mencari jalan untuk merosakkan azam kita ini. Jangan selalu tinggalkan amalan harian kita, diet kita dan rejim senaman kita.
Olan_90:
“Tapi...saya dah tak berani timbang berat badan. Dan tak berani keluar rumah dah. Nanti saya ternampak muka saya dalam cermin, saya sedih...”
Jamie:
“Jangan sekali-kali tinggalkan timbangan berat badan harian kita. Saya tahu awak takut melakukannya—takut suatu hari awak akan tengok nombor dalam penimbang itu meningkat—tetapi itu sebenarnya motivasi untuk awak. Setiap kali awak lihat pertambahan berat, ia merupakan peluang untuk meningkatkan usaha lagi. Dan jangan segan melihat diri dalam cermin—ia juga satu proses motivasi. Hargai usaha yang telah anda lakukan selama ini, dan tanam azam untuk mengekalkannya.
Jadikan diri lebih bersemangat daripada dahulu. Biar orang kata kita tak makan. Biar orang kata kita gila kerana membenci pasta dan nasi. Tetapi ini adalah pilihan gaya hidup kita. Kita pilih untuk kurus. Biar mereka pilih untuk gemuk. Yang pasti kita bahagia dengan pilihan kita.”
Hayley tersenyum simpul. Dia menutup komputernya dan mematikan plug. Kini dia seolah-olah mendapat semangat baru untuk meneruskan azam dietnya. Baju disarungkan seperti biasa dan dikemasnya buku teks. Sekarang dia lebih berani menghadapi dunia pelajar yang penuh pandangan sinis.
Dia menyelak rambut sambil berjalan ke pintu. Badannya tepat berhadapan cermin panjang digantung di dinding. Dia meneliti susuk tubuhnya, lalu tersenyum.
Gambar sebenar [link] |
“Persetankan apa orang kata. Saya akan dapatkan semula berat 77.5 paun itu.”
p.s. Ana-adalah kependekan Anorexia, yang selalu digunakan dalam forum online.
p.p.s 77.5 paun bersamaan kira-kira 35 kilogram.
Ulasan
..ilovetoeat..
just sndiri mau igt la..
nak wat apa cmtu.
ingatkan 77.5 kg =.='
pouns je ghopenye. hahaa.
payah org aneroxia ni.
35 kil0gram??
=D
ramai orang marah aku diet. tapi sebenarnya diri sendiri tak selesa banyak baju dah tak muat. (_ _")
eh..timbang-timbang..sudah naik 2 kg lagik..
mau kurus jugak..tapi x mo macam nie..
angin sepoi-sepoi sket, sudah mau terbalik
haish..
and yes, gambar tu memang betul.bukan photoshop apa. ia daripada website orang anorexia (mcm dlm cerita ni gak la).
dan kalau korg tgk gambar2 lain...peh...yg tak pakai baju...tapi korang tengok tulang belulang diorg korang rasa macam nak nangis. giler la tak makan!
dan banyak jugak diet tips dalam website tu. tp yang memang boleh bawak maut punya la. makan 50 kalori sehari je, gile!
korang2 yang berdiet ni berhati-hatilah ya. sentiasa ikut nasihat doktor dan bahan rujukan yg betul. silap nasihat, mmg boleh jadi 'rosak' gini.
terima kasih wat entri nih...
memang tgh diet tapi tak sampai la teruk mcm nih...
menakutkan....
-ika-
ak pon nk jd "ana" la gini!
hahahahaha
Now berat aku dlm 45 kg. mcm mne aku bole naik balik, salahkn gomen yg bg budak2 degree cuti lame sgt. dok uma asik mkn je. :)