Greatful: To That God Somewhere, Up There

Assalamualaikum gadis dan teruna.

Saya tahu, saya tahu...entri ini akan membuatkan saya kelihatan separa evangelis. Dan tika masa orang lain menulis tentang penghargaan kepada teman lelaki/perempuan/mak/ayah/kawan baik dan entah siapa lagi yang dihargai itu; saya duduk di sini menaip tentang entiti bukan manusia--Tuhan. Ah, biarkan semua itu--kerana inilah titis pemikiran saya.

Jujurnya, saya dan rakan baik saya sedang mengalami masa yang sukar. Dalam siri cinta kami sesama manusia, kami berada dalam kitar persoalan "Adakah dia cinta sama aku?/Adakah dia benci sama aku?" dan kami tidak pasti di mana ia akan berakhir. Merunsingkan--buat sesaat mereka titipkan pesanan cinta dan harapan--sesaat lagi mereka buat panggilan dan berkata "saya sudah ada yang lain". Dan lusa mereka datang, menghujani kita dengan janji lagi.

Setiap kali rakan itu menghubungi dengan berita itu saya cuma boleh katakan, "Sabar sayang," tetapi selepas ribuan panggilan yang sama saya kaku--dengan telefon di tangan--tidak menjawab. Dan berfikir. Kenapa cinta manusia cepat berubah? Bagai angin di musim monsun. Wujudkah manusia tanpa perasaan? Tanpa cinta? Jadi mengapa mereka lakukan ini kepada si pencinta, walaupun mengetahui dirinya itu segala bagi si pencinta? Tika itu, saya berhenti percaya akan cinta.

Cinta manusia, maksud saya. Ya, sebab kita tak akan boleh yakin mereka akan cinta selamanya, atau kekal setia menyayangi hingga hujung nyawa. Yalah, hati manusia lain-lain. Pastikah orang yang berpegangan tangan dengan kita pagi ini; yang baring di sebelah malam ini, masih akan ada tiba esok pagi?

Ah, bukan salah mereka sepenuhnya. Setia itu bukan sifat wajib ada manusia seperti sifat marah dan sedih.  Kalau iman kepada Tuhan boleh naik turun tika hayat manusia, inikan pula rasa kasih kepada manusia. Saya belajar untuk tidak mengharapkan sebarang setia infiniti daripada lelaki--dan juga wanita. Tetapi untuk Tuhan?

Yea. Tuhan.

Bunyi agak jengkel dan evangelis (and yes liberalists, stop plugging your ears) tetapi...saya bercakap melalui pengalaman diri. Cubalah ditinggalkan cinta hati, putus sahabat dan tinggal berseorangan jauh dari keluarga--pada masa yang sama. Tika itu baru sedar--bahawa selama ini terlalu bergantung kepada manusia. Dan malangnya, tika itu baru sedar--manusia bukan ada di sisi kita dua puluh empat jam. Kalau adapun apakah mereka sudi bersimpati? Tika itu baru tahu--tak ada jalan lain melainkan membentangkan tikar menghala Al-Bait dan membuat panggilan kecemasan jarak jauh kepada Yang Maha Esa.

Tika itu baru saya nilaikan hidup ini seperti memanjat gunung—hanya memaut dengan kudrat kaki dan tangan. Kiri, kanan, bawah, adalah batuan dan gaung yang menjanjikan jatuhan maut. Dan dengan angkuh kita yakin bahawa pengalaman selama bertahun dan kekuatan diri yang dibina, tidak akan menjatuhkan kita. Dan tiba-tiba  *crack!* batu yang kita paut mula hancur. Dan batu tempat berpijak meluncur jatuh. Dan batu yang lain jauh dari capaian. Kemudian anda merasa--inilah dia--inilah penamatnya--dan terbayang diri sendiri melayang jatuh bebas dan tersembam ke tanah keras. 
Source-Flickr
Tetapi itu tidak berlaku.

Terlupa bahawa ada tali keselamatan yang mengikat diri di belakang. Tali yang diikat ke badan dan di pasakkan ke sesuatu yang jauh di atas sana. Tergantung sendirian disebabkan tali yang tunggal itu. 

Ilmu-Nya, ayat-Nya, janji-Nya, adalah seperti tali keselamatan. Bagaikan talian hayat, yang kadangkala tidak disedari kewujudannya. Kadangkala hanya disedari ketika mula jatuh.

Kembali kepada cerita saya--setelah kejadian itu--walau tidak ada perubahan drastik sehebat Wardina atau Al-Mawlid--saya mula mencari Tuhan. Cari di rumah-rumah Nya--daripada yang cantik bagai istana (tapi kosong), yang biasa-biasa tapi penuh dengan anak-anak kecil bersuara bingit, hinggalah kepada yang diisi oleh orang tua yang memandang jelek kepada gadis berbaju moden berkilau-kilauan (hey, fashionista juga maukan Tuhan). Sembahayang sedikit, membaca sedikit. Kalau tidak tahu, saya duduk diam atau mengikut satu-persatu orang lain dan berharap tidak tersilap rukun.

Hingga kini saya tertanya adakah perubahan ini sudah cukup mapan. Tapi melihatkan diri yang masih tidak secantik wajah, masih tidak berpasangan, masih bergerak sendirian, masih tiada kerja tetap--rasa cukup syukur kerana MASIH boleh hidup dengan akal yang waras. 

Dan ada pernah sekali saya mencari Rumah-Nya berjam-jam tidak berjumpa. Meminta jalan. Menunjuk arah, Merayu tempat. Hingga ketika senja hampir berlabuh, saya tiba di suatu jalan belakang yang buruk dan kotor. Lopak dan lubang di jalan, najis di hadapan pintu. "Bilik Solat" katanya. Ah, seorang hamba tidak boleh memilih. Saya terus solat.

Habis solat saya tersedar bahawa sejak tadi ada yang memandang. Dongakkan kepala, rupanya rakan. Yang sejak tadi mengekor saya berulang-alik mencari bilik. Dia sabar menunggu saya selesai berdoa, lalu menguntum senyuman.

"Mesti kau tenang kan sekarang?"
“Huh?”
“Sebab kau bersembahyang.”
“Ya, begitulah.”
“Apa kata kalau aku sembahyang? Mesti tenang juga hati aku.”

Boleh sayang. Sembahyanglah. Nyatakan cinta dan penghargaan kepadanya kerana dia pasti membalasnya.


"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah , dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara." Ali Imran 103

P.s. kita hidup kerana Dia, kita bernafas kerana Dia, malah hadirnya pencinta susuk manusia itu juga, atas belas ihsan Dia. Tidak apakah kalau kita tidak berterima kasih? 

P.p.s: Andai kita mengatakan Tuhan itu pencinta, bahawasanya Dia bukan pencinta seperti seorang pakwe. Dia juga bukan pemberi candu tetapi Dia pengubati. Fikirkan.



Ulasan

Tanpa Nama berkata…
alhamdulillah :)
Tanpa Nama berkata…
indeed. akan ada satu masa yang kita semua akan tersedar yang dalam hidup, mahu tak mahu, kita akan harung seorang diri juga nanti.

manusia akan lari. kalau tidak lari pon,mungkin ikatan yang kau pegang sama dia, regang perlahan-lahan.

jadi. yang akan ada, tak kan pergi tinggal kan, adalah tuhan.cuma kita sahaja, manusia, lupa. alpa. leka.
oxaloacetate89 berkata…
Subhanallah..an excellent entry! :)
Eyka berkata…
suke..mecasih awak :)
nots berkata…
Speechless . Nice entry , terima kasih . (:
Tanpa Nama berkata…
Tak tahu nak komen ape..buatkam aku terdiam dan termenung bermuhasabah diri..terima kasih..
ain j berkata…
YUp...leka leka leka..kadang2 hairan..namun, akhirnya akan mencari cinta pencipta perasaan CINTA itu...
ANONEEMUS berkata…
Bent Pencil, aku rasa kisah kau sama seperti yang aku lalui kini - "Tapi melihatkan diri yang masih tidak secantik wajah, masih tidak berpasangan, masih bergerak sendirian, masih tiada kerja tetap"

aku juga tidak dapat memiliki dia yang aku mahu.

kadang-kadang rasa looser, kadang-kadang rasa useless.
Tanpa Nama berkata…
Tuhan uji orang yang dia tau kemampuannya setinggi mana, dan maka dengan itu -- kita kena terima SEMUAnya. SEMUA.
Tanpa Nama berkata…
alhamdulillah..semoga istiqamah...doakan sahabatmu jua walau di mana berada..
oshinz berkata…
walaupun diri tertonggeng ke bawah, masih bersyukur atas nikmat yang diberi selama ini. =) alhamdulillah!
orang kurang rajin berkata…
thanks for the sweet reminder TheBentPencil :)
Tembikai Merah berkata…
nice .. rase nak nangis lak bile bace dialog uh .. thanx yup .. hahak
Syafiq Azmi berkata…
ujian DIA bagi mcm2...smpai la kita cermin akan aper yg kita buat..

alhamdulillah dia bagi kita peluang untuk hidup...tanda sayang DIA kpd kita semu..=)
cek nangis...=,=...

oh abam the bent pencil...
aamalinaazman berkata…
di sini lah kita mencipta segala kejayaan demi Dia
tetapi hakikat manusia selalu lupa
semua yg dilakukan kerana Dia
kembali kepada Dia
kerana Dia kita ada..
i love this entry...
ye...cinta Tuhan ialah cinta yang paling agung :)
Syuhada berkata…
THEBENTPENCIL NI ADE BLOG SENDIRI TAK?
TheBentPencil berkata…
@syuhadaadros

ada.
tapi username lain. cari sendiri. hehe!
Syuhada berkata…
ARGH! kenapa kena cari sendiriiii. oke. gua akan carik sampai jumpa!

Catatan popular daripada blog ini

Cara Memikat Amoi (Jika Kau Seorang Lelaki Melayu)

Lelaki Suka Pandang Tetek Perempuan?

pengalaman bercinta dengan lelaki melayu.