The one that got away.
“As, betul ke ni tempatnya?”
“Ya, sinilah.”
“Tu la, dah ingat-ingat lupalah As. Dah lama tak ke sini.”
As menunjukkan ke pintu masuk. Kelihatan beberapa orang lelaki remaja keluar seragam. Aku mula kaget apabila ada yang menjeling kami.“Kak! Tu peluang tu! Pagar terbuka luas!” katanya tiba-tiba.
“Takpe ke macamni?”
“Takpe kak! Masuk, masuk!”
Kami meluru pantas. Selaju mungkin. Aku seperti menutup mata tanpa menghiraukan pandangan budak-budak lain—laju selaju lajunya! Akhirnya kami berhenti di suatu kawasan tempat letak kereta. Sunyi.
Aku mengangkat muka, memandang sekeliling. Ada bangunan empat tingkat, ada surau. Ada padang kecil. Aku memandang ke muka As. As pula pandang aku.
“As, kakak tak sangka....kita dah masuk asrama lelaki.”
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
“Hari ni hari ulangtahun saya dan Zie, kakak,” kata As menguntum senyum sambil memegang sebekas berbalut cantik.
“oh, patutlah iya-iya ajak akak ke mall ni, korang nak jumpa kasi hadiah ya...” aku senyum kembali. Ah, jiwa muda. Baru enam belas tahun, sudah mengalami cinta. Sudah faham apa itu keperluan dalam bercinta—memberi dan menghargai penerimaan.
Aku hanya sebagai chaperon—membawa As serta rakannya Gina dan Ayu ke pusat membeli-belah ini. Namun Gina dan Ayu hanya sebagai “cover line”, sebenarnya diajak bershopping ke hypermarket membeli alat tulis sekolah. As merancang untuk menunggu sehingga mereka agak leka membelek barang, sebelum mula mengundur diri untuk menelefon kekasih hati. Aku pula berada di belakang, memilih baju-baju idaman hati. Biarlah mereka dengan dunia mereka!
Namun lain yang dirancang lain yang berlaku. Kelihatan As mula menarik muka selepas talian dimatikan. Kemudian kelihatan dia mula dibebel panjang oleh rakan tadi. As tidak melawan—memang itu sifatnya—tetapi setelah Gina berhenti bersuara dia mohon diri dengan sopan lalu berjalan keluar.
Dalam gerak jalan yang kelihatan composed itu, kulihat ada sedikit airmata.
“Jom, ke kedai buku,” bisiknya.
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
“Kenapa cinta perlukan peraturan? Kenapa perlu ada rules and do’s and don’ts?” bentaknya dengan mata bergenang di celahan rak buku self-help. Aku diam. Biar dia lepaskan kemarahan sambil kami berdiri di celahan orang ramai. Walaupun sedang meluah rasa hati, As tetap santun dan terkawal—jadi tiada siapa yang perasan akan gelojak krisisnya.
“Apa kata Gina dan Ayu?” tanyaku.
“Gina kata saya tak patut berjumpanya. Saya tak patut beriya sangat,” kata As sambil bersandar di rak kecil.
“Well, akak rasa kamu memang agak beriya.” Kataku kembali, sekadar matter-of-factly.
“Tapi...mereka cakap saya kena jaga standard kita. Kakak tahukan si dia itu dari sekolah mana, saya dari sekolah mana. Kami musuh tradisi. Gina kata jatuhlah maruah sekolah kita kalau beriya sangat!” bentaknya lagi.
Aku terdiam. Peraturan apakah ini? Sejak bila percintaan dikaitkan dengan maruah sekolah elitis pula? Cinta melihatkan maruah—ya, maruah keluarga, maruah diri dan maruah agama. Belum pernah aku dengar ia dikaitkan dengan maruah instisusi yang dipelajari.
“Then, tak boleh ke bercinta dengan budak sekolah tu?” tanyaku kembali.
“Bukan tak boleh, boleh je. Ayu pun ada couple dengan budak mereka. Tapi...tak boleh nak tunjuk beriya sangat. Macam Ayu—kalau ada perselisihan dengan budak lelaki itu, dia tidak akan mengalah. Carutkan si jantan itu sepam dua kemudian meletak telefon.”
“Ish ganasnya Ayu, tak sangka.”
“Bukan apa, tu cara dia. Tapi ini cara saya. Kalau dia berdebat dan dia betul, saya mengalah. Kalau dia merajuk, saya pujuk. Kalau dia pergi, saya kejar. Kenapa pulak tak boleh cara macam tu?” As bertanya kembali pada aku. Aku ingin menjawab tapi tiada jawapan.
Entah bagaimana—bak kata watak Emma Stone dalam EasyA—kalau kita ada masalah tak semena-mena kita terjumpa buku atau naskhah sastera yang memberikan kita hint jawapan kepada permasalahan dalam kepala sekarang. Ya, itulah yang berlaku—sedang bersandar tepi rak aku terjumpa buku tentang perhubungan. Aku imbas sepintas lalu, lalu bacakan isinya kepada As.
“Setiap orang mempunyai definisi terhadap sesuatu dan ianya berbeza mengikut pengalaman, kefahaman, dan cara didikan mereka. Tiada siapa salah tiada siapa betul. Janganlah membenci mereka kerana perbezaan itu, fahami dan terima tindakan mereka.”
As tersenyum.
“Cara aku, cara aku. Cara mereka, cara mereka,” ulangnya.
Aku angguk. Lalu dia mengeluarkan seringgit.
“Apa ni?” aku hairan.
“Ni kos pengangkutan. Saya tanggung akak. Mari, kita ke sekolah si dia!”
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Aku dan As tunggu di antara surau dan blok kediaman. Beberapa orang datang dan pergi, ada yang sedikit menjeling aneh dan ada juga yang berlalu tanpa kata. Si As tutup mata, sedang ambil feel lagu Aishiteru yang berkumandang dalam radioku, katanya. Aku pula menjeling sana-sini, nervous tidak terkira. Apa jadi kalau aku kena tangkap? Malu hey!
Ah, tu dia.
Aku lihat seorang anak muda yang manis senyumnya, matang gayanya, turun dari blok. Zie—begitulah namanya yang aku kenal—nampaknya tersusun bicaranya tika dia sapa aku dan As. Kemudian mereka berbual panjang sambil disaksikan aku sebagai chaperon.
Aneh, tidak seperti yang aku jangkakan perangai pasangan kekasih remaja zaman sekarang. Itulah mungkin, lain orang lain caranya. Ini cinta cara mereka. Telus, jujur, spontaneous. Tanpa bermain drama dan peraturan yang dicipta manusia.
Zie dan As tidak bermanja-manjaan, tidak ada bertepuk tampar ketawa mengilai. Tidak ada peluk-peluk dan pegang tangan. Cuma dua orang yang berbual sopan, bertanya khabar berita, berkongsi masalah sambil memberi semangat untuk belajar.
Aku senyum melihat mereka.
Dalam perjalanan balik, As tersenyum gembira dan mengucap penghargaan. Terima kasih. Kerana sanggup melayan permintaan gilanya itu.
Sama-sama As. Aku turutkan permintaan itu pun, kerana aku percaya bahawa dia adalah seorang lelaki yang baik. Dan lelaki yang baik amat rugilah untuk dilepaskan.
Kerana aku juga pernah melepaskan seorang yang lelaki baik dari sekolah ini juga...
Ulasan
sweet story..smoga bahagia ye adik=)
Duhh, sebab tu I termasuk dalam geng kenakan budak bajet jaga maruah sekolah yang mengada nak flirt dengan so called naive girls kat sekolah kami.
erm, mantan sekolah sebenarnya.