Solitud Si Carik Rupa
Kau adalah antara orang yang bangun paginya sentiasa
melihat cermin kerana kurang yakin dengan wajah diri. Sejak kau mengenali apa
itu mimpi basah dan datang bulan, seringkali, kau ke mana-mana, menghias badan
dengan pakaian cantik-cantik dan mewah-mewah, tidak dipandang oleh mana-mana
yang berlainan jantina. Walaupun kau berpakaian indah-indah ketika hari
ulangtahun kelahiran, kenduri kahwin dan hari perayaan, langsung tiada mata
yang memandang. Kau fikir, apa yang salahnya pada wajah kau. Hanya sedikit
berlainan dari orang lain.
Hidung pesek tidak terletak di tempat yang betul, gigi
tidak sama rata antara baris, mata bulat besar sebelah, telinga capang dengan cuping
besar, pipi dahi hidung dagu berjerawat jeragat, kepala berkelemumur yang tidak
terkawal adalah antara sifat-sifat pada diri kau. Itu baru sifat yang berada di
kepala, belum lagi sifat di bawah kepala. Entah apa lagi kecacatan yang
dimiliki kau, segalanya menjadi rahsia milik kau buat selamanya. Malu jika
diketahui orang lain.
Dalam pada itu, selalu juga kau berdoa pada Tuhan. Malah
doa kau kadangkala berubah menjadi permintaan, menjurus rapat ke garis rayuan
melutut menghinakan. Iya, memang kau hamba Tuhan yang hina. Akan tetapi, kau
tidak sehina binatang sehingga perlu membuatkan kau merayu melutut mengubah
ciptaan-Nya yang penuh dengan rahsia dan perancangan-Nya.
Kau melihat orang lain yang sama bersifat seperti kau
(*malah kadangnya lebih teruk dari kau) berpasangan. Kau mengejinya. Kau
mencacinya. Kau tidak percaya, malah sampai saat ini kau sanggup memaki Tuhan
yang memberi ketidak-adilan pada dunia. Terutamanya dunia di sekeliling kau.
Mengapa tidak orang seperti kau punyai pasangan? Mengapa susah benar orang
seperti kau dipandang-pandang? Sampai masa ini, kau seperti makin tidak
percayakan kehidupan berpasangan.
Kau malah menjadi semakin bencikan hubungan percintaan.
Kau menghukum hubungan percintaan sebagai sesuatu yang tabu padamu. Kau
sebolehnya tidak mahu rakan dan sahabat berhubungan di hadapanmu. Apabila ada
yang bermesra-mesraan, kau ludah mereka dengan kahak paling dalam yang boleh
kau tarik tanda kau mengeji sikap mereka itu. Semakin hari hati kau semakin
tutup untuk dibuka pada mana-mana berlainan jantina yang ingin memilikimu.
Sehingga kau buta, sehingga kau jadi tamak.
Kau mula fikir kau layak untuk mendapat sesuatu yang
lebih baik dari kau. Sedangkan orang lain yang bersifat sama seperti kau pun
boleh dapatkan pasangan yang cantik molek wajah dan tubuhnya, kenapa tidak kau?
Kau tidak lagi nampak hati manusia. Kau tidak lagi peduli budi manusia. Kau
tidak lagi celik menilai manusia. Yang paling penting untuk diterima kau adalah
paras rupa. Budi bahasa, hati murni, persetankan semuanya.
Lalu akhirnya kau terdampar kesedihan hingga ke hari tua,
menanti dengan solitud ke penghujung usia.
Ulasan
*realiti dunia*
hugsssssssssss
Macamana nak gain confident tu? Cakap depan cermin selalu? =='
@Azizah Alwi;
Hahaha. Untunglahh jadi yang sentiasa dapat perhatian. Takperlu susah jadi attentionwhore gitu. :P
Terima kasih!
@Kiara;
Err..Why do my guts telling me that your words is full of sarcasm? Haha!