Biar hati rabak, jangan iman koyak.
Artikel kupasan Ustaz Zahazan menjadi artikel terakhir yang dibaca dalam majalah SOLUSI. Artikel yang bertajuk 'Selamat Biarpun Dicampak ke dalam Kandang Singa' sangat menyentuh hatinya. Sebaik majalah tersebut ditutup, kedua tangannya diapungkan ke udara dan pinggangnya dikilas ke kiri dan kanan bagi meregangkan urat yang terasa sangat tegang. Jari diletupkan satu persatu. Sumayyah bingkas bangun dari kerusi malas ke arah katil. Bantal ditepuk, stokin dipakai, cekak diletakkan di atas meja sebelah katil.
"أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah." Perlahan suaranya seakan berbisik mengucapkan dua kalimah syahadah dan seraya membaca doa tidur. "Semoga Engkau masih sudi memberi aku peluang untuk bernafas esok, Ya Allah," lirihnya sayu sebelum kedua kelopak matanya dikatup sambil bibirnya galak melafazkan zikir memuji Sang Penciptanya.
****************************
"Stephanie, you dah fikir masak-masak ke? Kenapa tiba-tiba je? Siapa yang dah hasut you ni?" Bertubi-tubi soalan Joseph kepada tunang yang sangat dicintainya.
"Takde siapa pun yang hasut I. I rasa ini adalah yang terbaik, Joseph. Hati I rasa tenang sejak buat keputusan untuk berubah. Sesungguhnya Allah yang telah menggerakkan hati I untuk berubah. I sayangkan you. Tapi, I lebih cintakan Dia," sambil jari telunjuknya menuding ke atas. "Agama kita dah berbeza sekarang, Joseph. I bukan lagi Stephanie yang you kenal dulu. I harap you hormat keputusan I."
Cincin di jari manisnya ditanggalkan dan perlahan-lahan ditolak ke arah Joseph. Sikit pun tiada airmata yang menodai pipi mulus Stephanie tetapi Joseph sebaliknya. Matanya sudah mula berkaca melihatkan tingkah laku insan yang paling dikasihinya.
"Lagi satu, tolong jangan panggil I dengan nama Stephanie lagi. Stephanie dah tiada. Yang ada hanya Sumayyah. Jaga diri, Joseph." Kata maaf menjadi kata-kata terakhir sebelum dia melangkah meninggalkan Joseph terpinga-pinga dalam restoran yang pernah suatu ketika dahulu menjadi saksi lamaran Joseph kepadanya.
Akhirnya, airmata yang cuba ditahan gugur jua sambil dia terus mengorak langkah meninggalkan masa silamnya yang manis tapi penuh dosa bagi seorang yang baru sahaja memeluk agama Islam sepertinya. Dia tahu itu adalah langkah pertama yang sangat sukar yang harus dia tempuhi.
"Ya Allah, kuatkanlah hati aku untuk terus berpegang pada agama-Mu." Sumayyah terus menangis sayu dalam hati.
***
Joseph seakan tidak bermaya selepas terpaksa menerima keputusan Stephanie untuk memutuskan pertunangan. Baginya, Stephanie adalah satu-satunya wanita yang dicintai sepenuh hati dan ingin diambilnya menjadi suri hatinya dan Stephanie jugalah wanita yang dia ingin tua bersama. "Tapi kenapa? Kenapa Stephanie?" Dia menangis teresak-esak persis anak kecil yang tidak dipenuhi kehendaknya. "Sampainya hati you lupakan semua macam tu je. Mana janji you untuk hidup bersama sampai bila-bila, sayang? Mana??!" Cermin di biliknya ditumbuk kuat. Darah mengalir di celah-celah penumbuknya bersama deraian kaca di lantai, seolah-olah menterjemahkan hatinya yang berkecai melalui serpihan kaca tersebut.
Kekecewaan yang tidak dapat dibendung membuatkan dia berubah. Daripada seorang yang bukan kaki botol, kepada seorang yang balik mabuk setiap malam. Joseph cuba untuk menghapuskan bayangan Stephanie dalam mindanya dengan memabukkan dirinya. Walaupun dalam keadaan yang separa sedar, hanya senyuman Stephanie yang terlayar di tubir matanya. Tidak diketahuinya betapa payah untuk menghapuskan jejak seorang manusia bernama Stephanie dalam hati dan mindanya.
***
Laju jari jemari Sumayyah menari di atas papan kekunci menyiapkan entri terbaru yang ingin dinaikkan ke dalam blognya. Sumayyah sememangnya seorang blogger tegar. Daripada sebelum dia menganut agama Islam sehinggalah dia bergelar muslimah, dia masih kekal aktif berblog. Cuma, konsep blognya sahaja yang sudah bertukar seiring dengan perubahan dirinya.
Banyak cerita yang ingin dikongsi bagi mengelakkan orang sepertinya berasa tersisih. Dia sedang melaluinya dan sudah semestinya dia faham perasaan mereka. Syukur, blognya mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai pihak. Dia yakin Allah pasti akan permudahkan usaha yang baik dan perjuangan kerana-Nya.
"Hey, taknak tido lagi ke?" Bahu Sumayyah ditepuk lembut oleh teman serumahnya, Wafiyyah.
"Eh Fiyah. Terkejut aku. Ingatkan sape tadi." Satu senyuman mesra dihadiahkan buat Wafiyyah yang banyak bersamanya di saat jatuh bangunnya cuba berlari dalam kegelapan mencari cahaya yang terang tetapi tidak memedihkan mata.
"Kau ingat sape ha? Haaaa..." Jari telunjuknya digoyangkan ke kiri dan kanan. Mukanya suspicious bercampur nakal.
"Sape-sape jela. Dah dah. Takyah nak fikir bebukan." Pantas dahi Wafiyyah ditepuk.
"Heee. Nah, aku ada buatkan kau Horlicks. Tulis apa tu?" Wafiyyah memanjangkan lehernya membaca apa yang terpampang di skrin. "Oh, update blog eh? Ceritalah pasal aku, Maya." Wafiyyah tersengih-sengih menampakkan barisan giginya yang cantik tersusun dan lesung pipit di sebelah pipi kanannya.
"Amboi. Nak suruh tulis pasal dia, kemaen lagi sengih lebar eh. Sampai habis terkelup pipi tu nak tampung kecacatan yang cantik tu." Sumayyah mengusik Wafiyyah yang tertunduk malu.
"Eh apa cerita dengan peminat kau tu?" Wafiyyah terus menukar topik perbualan.
"Peminat? Oh, anon tu. Hahaha. Entah. Dah lama jugak aku tak dapat komen dia." Sumayyah kelihatan terangguk-angguk sedikit sebelum termenung.
"Oi, termenung! Amboi, takkan dah crush ke anon kot. Kemon ah."
"Dah mula dah perangai gila dia. Malas aku nak layan." Sumayyah berpaling dan meneruskan penulisannya yang terganggu sebentar tadi.
"Ala, merajuk. Kot ye pun nak merajuk, jangan lupa habiskan air ni. Aku tido dulu eh. Genite, Sumayyah sayang." Wafiyyah mengucup pipi kawan baiknya itu sambil menggeletek pinggangnya.
"Eeeee mana aci! Hahahaha. Genite Wafiyyah sayang." Kucupan di pipi berbalas.
***
'Salam. Saya suka dengan gaya penulisan saudari. Kalau tak keberatan, boleh saudari kongsikan apa yang perlu dilakukan sekiranya kita disisihkan daripada keluarga sendiri selepas memeluk agama Islam?'
-Yusuf-
Komen daripada seorang lelaki yang bernama Yusuf menarik perhatiannya. Mungkin kerana nama Yusuf itu sendiri. Mungkin. Terus ingatannya melayang ke bekas tunangnya, Joseph. Apalah agaknya khabar dia, ya? Entah-entah dah ada anak bini. Dalam tiga tahun macam-macam boleh berlaku. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Alangkah gembiranya kalau Joseph pun terbuka hati untuk turut sama menganut agama yang suci ini. Tapi, hidayah bukan miliknya. Dia harus akur.
Tiba-tiba hatinya menjadi sedih apabila teringatkan kisah lama. Dia tahu syaitan sedang membisikkan yang bukan-bukan agar dia dilanda hiba. Sumayyah bingkas bangkit dan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dan menemui kekasihnya di sepertiga malam.
***
"Cik Sumayyah, setiap penyakit pasti ada penawarnya. Hanya satu keadaan sahaja yang tiada penawar iaitu mati. Maka, selagi hidup selagi itulah kita kena berusaha untuk memaknakan setiap helaan nafas kita," ujar Dr. Hanafi yang juga merupakan salah seorang doktor pakar.
"Doktor, saya anggap ini ujian Allah untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang-Nya pada saya. InsyaAllah saya redha, doktor. Tapi boleh saya tahu apa yang patut saya buat?" Sumayyah cuba berlagak tenang selepas disahkan menghidap kanser pankreas.
Menurut Dr. Hanafi, kanser pankreas merupakan salah satu kanser yang jarang ditemui di negara kita. Kanser ini sukar dikesan kerana terletak di belakang perut dan hanya dapat dikesan selepas merebak ke tempat lain seperti hati dan paru-paru. Jika kanser ini di peringkat satu, biasanya boleh dibedah dan dibuang tetapi selepas lima tahun hanya 20 peratus sahaja yang masih hidup. Pun begitu, Dr. Hanafi begitu positif bahawa keadaan Sumayyah adalah masih di tahap yang boleh diselamatkan.
"Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya, Cik Sumayyah. Banyak-banyakkan bersabar."
Sumayyah hanya mampu melukiskan segarit senyuman nipis dan mengangguk lemah.
"Saya cadangkan untuk awak jalani pembedahan sebelum kanser tersebut merebak ke tempat lain. Selepas pembedahan, awak boleh jalani kimoterapi dan kita tengok macam mana hasilnya selepas tu."
Segala kata-kata Dr. Hanafi bagaikan angin lalu di pendengarannya. Bukan tidak berminat untuk mendengar, namun hatinya masih berat untuk menghadapi kenyataan bahawa dia merupakan salah seorang pesakit kanser kini dan sedang berhadapan dengan maut pada bila-bila masa sahaja.
***
Andaikata ini adalah yang terbaik buatku, Ya Allah Kau tolonglah tiupkan rasa redha dalam hatiku. Diberikan hidayah untuk merasa nikmat iman adalah hadiah terbesar dalam hidupku, Ya Allah. Diberikan sakit sebagai ujian merupakan saat paling getir dalam hidupku, Ya Allah. Apapun keadaan, aku harap Kau tidak berpaling daripadaku sedikit pun, Ya Allah. Kalau Engkau berpaling, nescaya hilanglah arahku untuk meneruskan kehidupan ini, Ya Allah.
Sumayyah menangis hiba dalam solatnya. Bimbang jika ini adalah solat terakhirnya. Bimbang jika nyawanya ditarik sebelum sempat dia bertaubat atas dosa-dosa masa lampaunya. Bimbang jika roh terpisah daripada jasad, bumi tidak sudi menerima jasadnya dan rohnya ditolak mentah-mentah oleh langit. Bimbang. Sungguh dia bimbang. Dan dengan rasa bimbang itu, dia menangis bersungguh-sungguh ketika menghadap Tuhannya.
****************************
Selepas pertunangan antara dia dan Stephanie, oh bukan, antara dia dan Sumayyah putus, mereka langsung tidak saling berutus khabar. Lost contact. Merawat hati luka dengan bantuan masa. Tiga tahun ternyata tidak dapat memulihkan hati yang terluka. Lantas, Joseph yang sudah bertukar namanya kepada Yusuf cuba mencari Sumayyah melalui blog dan akhirnya berjumpa juga dia dengan sebuah blog yang cukup dikenali gaya penulisannya. Sebenarnya, dia selalu memberikan komen dalam blog Sumayyah dan setakat ini, Sumayyah tidak pula menunjukkan tanda-tanda seperti mengetahui dia adalah Joseph. Mungkin kerana dia menggunakan nama Islamnya, Yusuf.
Pada latest entry yang di-update, Yusuf menulis sesuatu di kotak komen yang disediakan;
'Sumayyah, kalau saya melamar awak untuk menjadi yang halal buat saya, masihkah ada ruang untuk saya menjadi imam dengan bermakmumkan awak?'
-Yusuf (Joseph)-
28 Jun. Hari lahir Sumayyah. Tak mungkin dia melupakan tarikh ini. Kerana tarikh ini jugalah, dia memberanikan diri untuk memberikan komen berbentuk lamaran seperti itu. Namun dia berasa pelik kerana sudah lebih tiga bulan blog Sumayyah tidak di-update dan komennya tidak di-approve. Hatinya berasa gusar. Takkanlah kerana lamaran tu, Sumayyah cuba untuk melarikan diri daripadanya.
Yusuf cuba menjejaki Sumayyah melalui Wafiyyah, kawan baiknya. Selepas lebih tiga tahun tidak berhubung, perbualan pertama di telefon terasa sangat kekok.
"Assalamualaikum."
"Waalaikummussalam."
"Wafiyyah apa khabar?"
"Alhamdulillah, sehat."
"Saya terus terang jela ya. Saya nak cari Sumayyah sebenarnya. Boleh saya tahu macam mana nak contact dia?"
"Boleh."
Diam.
"Tolong sedekahkah al-fatihah untuk dia."
Sepi.
"Arwah suruh saya sampaikan salam pada awak. Dia ada tinggalkan surat terakhir yang sudah pun saya pos kepada awak. Kalau takde pape lagi, saya letak dulu. Assalamualaikum." Gagang terus diletakkan dan Yusuf masih dalam kebingungan.
***
Yusuf, sepanjang hidup saya sebagai seorang muslimah, tiada apa yang lebih membahagiakan selain dilamar untuk menjadi yang halal buat seorang lelaki yang pernah dan sedang dicintainya. Tapi, ajal maut jodoh pertemuan semua bukan di tangan kita. Kita hanya mampu merancang dan menginginkan yang terbaik tapi ketahuilah bahawa Dia adalah sebaik-baik perancang. Syukur Allah bukakan pintu hati awak untuk mengecap nikmat yang turut saya rasakan, iaitu nikmat iman. Namun, ketahuilah Yusuf bahawa tidak bermakna iman seseorang hamba itu selagi dia tidak diuji. Dan sekarang, saya sedang diuji dengan penyakit kanser. Saya redha, Yusuf. Saya dapat rasakan dari dulu lagi bahawa anon dan Yusuf yang rajin komen kat blog saya itu adalah awak. Tapi, saya takut untuk berharap dan memberikan harapan kerana saya tahu masa saya sudah suntuk. Maafkan saya, Yusuf. Jangan tangisi pemergian saya tapi tolong sedekahkan al-fatihah untuk saya sekiranya awak sayangkan saya. Ini adalah yang terbaik buat saya, awak dan kita. Semoga awak berbahagia, Yusuf. Assalamualaikum. :')
Ulasan
cinta pada tuhan yg mnngatasi segalanya...
hrp mmpu jadi canie..=)
jiwaku tersentuh jua.
hepi besday ehh!!
*ada kisah mcm ni terjadi betul2 dlm realiti