Surat untuk saudari
Sepanjang malam saya merenung skrin laptop dan saya membuat keputusan untuk menulis surat maya secara ringkas buat saudari yang selalu lekat di hati sekurang kurangnya untuk hari ini. Ketika saya menulis surat ini, dinding sedang berbunyi dan tivi kehilangan fungsi.
Saudari,
Bagaimana angin 28 Mac bertiup? Saya pasti ia memberi kesan yang menyelesakan dan juga membahagiakan. Bagaimana awan 28 Mac berarak? Saya yakin ia masih menjadi hari yang cerah walau hujan turun sekalipun. Dan bagaimana senyuman 28 Mac? Saya tahu ia merupakan senyuman paling berseri dalam hari seorang wanita.
Maaf saya ucapkan kerana tidak dapat hadir. Kadang kala saya fikirkan yang saya sudah cukup bersedia tapi seperti yang orang lain mengenali saya, saya seorang yang cukup sukar diduga. Boleh jadi saya hadir dengan karekter lelaki paling riang atau boleh jadi saya datang dengan watak yang paling garang. Lebih bagus tidak mengambil sebarang risiko dalam situasi seperti ini. Jika ini satu perang, saya sedang kalah teruk. Dan saya tidak fikir seorang lelaki yang kalah dalam peperangan mampu makan nasi minyak dengan bahagianya. Hahaha.
Saudari,
Ajal, rezeki dan jodoh ialah kerja Tuhan. Dan betapa kita fikir kita mampu mengawalnya, kita akan sedar yang kita hanyalah manusia biasa. Dan sebagai manusia biasa(atau sedikit terer) saya terima apa jua adanya. Tuhan arif dengan kerjaNya. Saya tidak akan pernah menghalang jodoh.
Semoga berbahagia, semoga sentiasa susah senang bersama, semoga selalu ketawa walau apa jua musibah melanda, semoga sentiasa dalam lindungan Tuhan. Saya di sini akan okay okay sahaja. Dan percaya atau tidak, saya sedang menulis surat ini sambil ketawa. Tambahan pula, saya seorang penyokong Arsenal yang terkenal dengan ketabahan mereka yang luar biasa.
Saudari,
Ini permulaan yang baru dalam hidup saudari. Maka hadapinya dengan tenang.
Selamat pengantin baru.
Ulasan