Cemburu Retrospektif dan Empati Terhadap Pasangan
Cemburu :
Iri hati (kerana orang lain pandai, berharta
dll); 2. Kurang percaya atau syak wasangka (takut-takut suami mempunyai kekasih
lain dll)
Retrospektif :
Meninjau atau mengenang kembali peristiwa dan
sebagainya yang lalu
Cemburu Retrospektif :
Iri hati atau kurang percaya pada seseorang
atau sesuatu kerana perbuatannya di masa lalu
Empati :
Daya menyelami dan memahami perasaan atau
emosi orang lain
Cemburu adalah sesuatu yang paling celaka sekali dalam hidup seorang
manusia kerana manusia diciptakan mempunyai akal, psikologi, emosi dan
perasaan(hati). Lebih-lebih lagi manusia yang mempunyai pasangan. Aku tak tahu
kau yang membaca kata-kata aku ni adalah seorang yang belum mempunyai pasangan,
sedang mempunyai pasangan, atau baru saja putus dengan pasangan, tapi aku rasa
kau cukup faham apa yang aku maksudkan, bukan? Cemburu ni memang celaka. Kalau
setuju, sila berdiri tegak dan cakap, “Ya, saya setuju. Cemburu ni memang
celaka!” sekarang. Kalau kau baca dalam LRT, nasiblah kan. Buat jugak. Sebab
aku tahu, semua orang pun setuju bila aku cakap cemburu ini sangat celaka.
Cemburu bermaksud seperti yang aku dah kepilkan kat atas. Tu bukan maksud
yang aku reka menurut pemahaman aku tau. Tu maksud yang aku petik daripada
Kamus Dewan. Semua maksud perkataan di ataslah, senang cerita. Kau boleh semak
sendiri dalam kamus. Memang ada. Aku tak tipu.
Tapi sekarang ni aku nak sebut pasal cemburu dahulu. Cemburu adalah satu
entiti dalam hati manusia yang terhasil akibat kau tidak berpuas hati(iri
hati). Kau tak puas hati ada orang lagi lebih dari kau dalam beberapa hal. Atau
kau tidak berpuas hati kerana orang tu mempunyai hidup yang lebih bahagia dari
kau. Dan dalam konteks berpasangan ini pulak, ketidakpuasan hati kau sebenarnya
boleh dikategorikan pada pelbagai aspek. Contohnya, kau tak puas hati ada orang
lagi rapat dengan pasangan kau berbanding orang lain. Kau tak puas hati kalau
orang lagi memahami pasangan kau dari orang lain. Kau tak puas hati kalau ada
orang lebih dekat dengan pasangan kau berbanding kau. Kau tak puas hati kalau
ada orang dilayan oleh pasangan kau lebih daripada pasangan kau melayan diri
kau. Kau tak puas hati kalau pasangan kau lebih menjaga hati orang lain
berbanding kau. Kau tak puas hati itu, kau tak puas hati ini. Ya, ada banyak
kategori sebenarnya. Itu adalah bab cemburu.
Retrospektif pula sesuatu yang kita buat atau fikir pada masa sekarang,
kerana sesuatu yang dah berlaku pada masa lepas. Contohnya macam.. eh, susah
pulak aku nak bagi contoh ni. Kejap aku fikir. Haa, contohnya macam kau
sekarang ni sedang bekerja dalam bidang design(aku sebut bidang ni sebab memang
aku kerja dalam bidang ni pun) kemudian kau ada sedikit masalah untuk design
sesuatu, dan kau teringat kembali yang pada suatu hari yang indah, cuaca redup
tak redup, suhu hangat tak hangat, pensyarah kau ada menyebut sesuatu yang buat
kau mampu selesaikan masalah design kau tu. Itulah yang dimaksudkan dengan
retrospektif. Kau melihat sesuatu di masa lepas untuk menjadi rujukan kau dalam
hidup kau di masa sekarang. Dah faham kan apa itu sebenarnya retrospektif?
Kalau faham, bagus. Kita masuk ke empati pulak.
Empati adalah apabila kau rasa sedih, marah, kecewa, bengang, gembira, dan
segala macam lagi perasaan(tak semestinya semua perasaan itu sekaligus. Mungkin
salah satu, mengikut emosi orang yang membuat kau rasa empati itu) kerana kau
tahu, orang yang kau dengar masalah dia, atau kau bersama dengan dia, mempunyai
sebuah pengalaman yang sama dengan kau sepertimana kau alaminya sebelum ini,
atau kau boleh rasa semua perasaan itu kerana kau boleh ‘rasa’, sebab kau
meletakkan diri kau secara imaginasi, emosi dan perasaan dalam situasi orang
tu. Orang putih selalu cakap, “I know how it feels like. I can feel it coz I
put myself in your shoes.”
Di sini aku nak petik kata-kata Marshall Mathers dalam lagu Beautifulnya;
In my shoes, just to see
What it's like, to be me
I'll be you, let's trade shoes
Just to see what it'd be like to
Feel your pain, you feel mine
Go inside each other's minds
Just to see what we find
Look at shit through each other's eyes
Dah nampak kan bagaimana empati ini berfungsi? Jangan silap faham antara
empati dan simpati. Simpati itu, kau tak ada rasa apa-apa gangguan emosi akibat
penceritaan orang itu. Tapi kau tetap cuba menyelesakan orang yang sedang
bersedih/marah/kecewa/bengang tu. Mungkin dalam tepuk bahu kau pada dia, atau
pada setia kau mendengar kisahnya. Dah, kau tak payah nak tipu aku selama kau
kenal orang, orang cerita masalah dia kat kau, kau memang sentiasa rasa empati
pada dia. Tak, tak mungkin semuanya adalah empati. Mesti ada beberapa kisah
yang pada kau, kau berfikir, “Hek eleh, itu pun nak serabut ke. Senang gila kot
problem hang ni.”, namun kau tak luahkan kata-kata kau, dan memek muka kau
hanyalah muka poker, atau muka mengekspresikan reflek emosi yang kau dapat
daripada orang itu.
Amboi, panjang pulak cerita pasal empati. Tapi kau faham kan apa itu
empati? Kalau faham, bagus. Kalau tak faham, pergilah cari pakar bahasa atau
pakar psikologi dan tanya pada diorang apa beza empati dan simpati tu. Nak
tanya aku pun boleh. Ada je cara nak contact aku dalam buku ni. Carilah, mesti
kau jumpa. Aku tahu kau bijak bestari pandai gila babi.
Sekarang, kita masuk pada bab ‘cemburu retrospektif’. Menatang bangang apa
bendalah ni kan? Merepek betul. Entah apa-apa je nama istilah ni. Tapi
jujurnya, aku pun baru tahu pasal cemburu retrospektif ni pada bulan Mac 2014.
Sebab aku dihidap penyakit ni la. Ya, aku namakannya sebagai penyakit kerana ia
sangat..sakit. Rasa cemburu retrospektif ni lebih sakit daripada cemburu biasa.
Kerana ia melibatkan sesuatu yang memang betul dah berlaku. Kau cemburu pada
kisah lalu pasangan kau. Mungkin pada pasangan yang bercerita dia sangat suka
diperlakukan begitu-begini oleh ex, tetapi dengan kau tidak dapat
berbegitu-begini kerana kau bukanlah manusia yang sama seperti ex pasangan kau
tu. Faham ke tak ni? Contohnya, pasangan kau dengan exnya pernah bersama-sama
menjelajah beberapa pulau di Malaysia dalam masa setahun. Kau tak boleh
berbegitu dengan pasangan kau kerana ibu bapa kau tak mengizinkan kau pergi
bersama pasangan kau, dan kau adalah manusia yang sentiasa menurut apa saja
kata ibu bapa kau. Ini membuatkan kau rasa cemburu pada kisah lalu pasangan kau
yang menceritakan betapa bahagianya dia bersama exnya menjelajah pulau-pulau
ini. Lagi-lagi apabila yang diceritakan kenapa dia bahagia dengan ex itu pada
masa itu secara terperinci. Sudah tentulah kau yang tak dapat melakukan perkara
itu dengannya akan berasa cemburu, bukan?
Ada jugaklah aku buat survey mengenai cemburu retrospektif ni. Bila aku
tanya, “Encik/Cik tahu tak mengenai cemburu retrospektif ataupun dalam Bahasa
Inggerisnya ‘Retrospective Jealousy’?” Ramai yang jawab tidak tahu mengenainya.
Akan tetapi bila aku mula memberikan definisi cemburu retrospektif ini, barulah
mereka memahami dan mereka memberitahu aku yang mereka memang pernah mengalami
cemburu yang begini. Cuma mereka tidak tahu istilahnya adalah cemburu
retrospektif. Yang mereka tahu hanyalah mereka cemburukan pasangan mereka. Dan
ada antara mereka yang langsung tidak selesa dengan pasangan mereka, kerana
terlalu cemburu, membuatkan hubungan mereka mempunyai masalah. Dia tidak mampu
lagi bersama dengan pasangannya secara intim. Dia tidak mampu lagi memeluk
pasangannya. Dia tidak mampu lagi bercumbu dengan pasangannya, kerana diketahui
pasangannya itu telah melakukan sesuatu yang lebih daripada itu, dengan orang
lain. Perkara ini akan jadi lebih membimbangkan jika ia membuatkan kau rasa
tertekan kerana tidak mampu menjadi seperti apa yang exnya berikannya dahulu,
membuatkan kau langsung dihidap depresi dan semakin hari semakin menjauhkan
diri dari pasangan kerana terlampau tidak selesa bersamanya. Kalau belum kahwin
bolehlah berpisah. Kalau dah kahwin dan ada anak-anak? Bagaimana?
Mesti kau fikir, “Kalau dah orang tu sayang kita seluruh hatinya sekarang,
apa perlu peduli lagi pada kisah-kisah dan pengalamannya yang terdahulu?” kan?
Jika nak diikutkan memang ia semudah itu sebenarnya.
Kalau manusia ini tidak mempunyai hati.
Akan tetapi, manusia mempunyai hati.
Jadi, ia tidak semudah itu.
Hati inilah yang membuatkan manusia rasa tidak selamat(insecure), cemburu
dan pelbagai lagi perasaan bangang lain yang mengganggu hubungan kau dengan
pasangan kau. Kau boleh bayangkan tak, kalau cemburu biasa, contohnya jika
pasangan kau terlalu melayan orang lain dengan mesra di timeline Twitter atau
di Facebook, kau boleh tegur pasangan kau supaya kurangkan atau langsung jangan
melayan sesiapa dengan mesra, kerana kau cemburukannya.
Dah kalau benda ni berlaku pada masa lalu, kau nak selesaikan masalah kau
ni bagaimana? Mana ada mesin masa yang boleh membuatkan kau menjelajah
menelusuri masa lagi di dunia ini. Celah mana kau nak ubah masa lalu? Dan kalau
kau boleh kembali ke masa lalu pun, kau mana boleh ubah daripada perkara tu
berlaku. Nanti akan mengganggu kontinum ruang masa dan kau takkan berjumpa
dengan pasangan kau yang sekarang ni. Faham ke tak faham ni? Kalau tak faham,
pergi tonton Back To The Future sana. Kau akan faham apa yang aku katakan ni.
Kau faham kan sekarang kenapa cemburu retrospektif ni sakit gila babi?
Kalau faham, bagus.
Bagaimana hendak selesaikan masalah cemburu retrospektif ni?
Ada pelbagai metode dan jalan penyelesaiannya.
Metode 1
Kau mahu selesaikan masalah ini.
Hampir semua masalah di dunia ini, mampu diselesaikan dengan formula metode
ini, yakni, kau mahu selesaikan masalah ini. Kau tidak akan selamanya boleh
selesaikan segala masalah kau, jika kau tidak berpegang teguh pada hati yang
mahu selesaikan masalah ini. Jika kau hanya hangat-hangat tahi ayam,
percayalah, kau tidak akan mampu menyelesaikan masalah kau. Dan jika kau
memilih untuk serius menyelesaikan masalah yang kau hadapi ini, kau sudah pun
99% terkehadapan berbanding mereka yang menghidap penyakit sama seperti kau,
tetapi tidak mahu melakukan apa-apa perubahan dan penyelesaian kepada masalah
kau.
Mereka tidak seperti kau, berusaha untuk menyelesaikan masalah ini. Mereka
hanya menunggu. Menunggu berhari-hari, berminggu-minggu, bertahun-tahun supaya
masalah cemburu retrospektif ini berlalu pergi dengan sendiri, tetapi masalah
ini bukan jenis seperti masalah cemburu lain yang mampu berlalu mengikut
peredaran masa. Masalah ini perlu diselesaikan. Dan siapa yang mampu
selesaikannya? Bukan orang lain. Bukan kawan kau, bukan ibu bapa kau, bukan
kekasih kau, bukan psikiatrist kau, tetapi diri kau. Ya, kau perlu selesaikan
masalah ini sendiri.
Kau boleh selesaikan masalah ini sendiri. Kau mempunyai kuasanya. Kau boleh
menyelamatkan hubungan kau dan kekasih, bahkan, sebaik kau menyelesaikan
masalah kau ini, jangan kata kau, hubungan kau juga akan turut sama menjadi
lebih kukuh, bahagia dan gembira. Dan kebolehan kau untuk mencintai, kehidupan
bersama pasangan dan keyakinan diri kau juga akan menjadi lebih baik selepas
masalah ini diselesaikan.
Metode 2
Percaya dengan kebolehan kau.
Untuk mempercayai kau mampu dan berkebolehan menyelesaikan masalah ini
sendiri, kau perlu tahu apa punca sebenarnya yang membuatkan kau cemburu pada
masa lalu kekasih. Apa sebenarnya yang berlaku pada masa lalu kekasih, yang
membuatkan kau tidak boleh hidup dengan tenang selepas kau mengetahuinya?
Jangan tanya aku. Bukan aku yang tahu pasal itu. Kau yang tahu pasal itu.
Cuba kau fikirkan semula. Apa sebenarnya yang buat kau cemburu sangat tu?
Ambil masa sendirian pada waktu lewat malam, fikir. Dalam Islam kita ada
istilah ‘Muhasabah Diri’ untuk menghitung dan menghisab dosa-dosa dan kerja-laku
kita sehari-hari kan? Haa, guna metode itu untuk kau selidiki apa sebenarnya
yang buat kau cemburu ini.
Aku percaya, sebaik kau jumpa apa sebenarnya yang buat kau bermasalah
dengan kisah lalu kekasih kau, kau akan semakin tahu bagaimana hendak menggunakan
kebolehan kau untuk menyelesaikan masalah ini.
Sekali lagi, jangan tanya aku. Tanya diri kau.
Metode 3
Adakah apa yang kau bayangkan dalam kepala itu, satu
fakta atau hanya imaginasi kau semata?
Sesetengah pengkaji/doktor mengatakan cemburu retrospektif ini lebih kurang
sama dengan OCD(Obsessive Compulsive Disorder) kerana kedua penyakit ini
berkongsi simptom. Orang yang menghidap cemburu retrospektif ini akan sentiasa
obses dengan kisah lalu pasangan, membuatkan penghidap akan berasa tidak selesa
selagi dia tidak memastikan keobsesasian tadi diselesaikan. Contohnya, sebelum
tidur, dia asyik merasakan yang dia terlupa menutup pili air di tandas. Selagi
dia belum bangun dari perbaringan, ke tandas dan memastikan yang dia
betul-betul menutup pili air, fikirannya akan sentiasa terganggu, obses dengan
pemikiran yang merasakan dia masih belum menutup pili air itu.
Sama juga seperti cemburu retrospektif ini. Keobsesasian kau itulah yang
membuatkan fikiran kau terganggu. Mari kita tengok perkaitan antara kitaran
penyakit OCD dan cemburu retrospektif ini.
Dan dengan menggunakan kitaran yang sama, mari kita gantikan pengalaman
kitaran OCD tadi dengan pengalaman kecemburuan retrospektif.
Nah, sama bukan? Akan tetapi, aku dan beberapa rakan lain yang sama pernah
menghidap kecemburuan retrospektif ini bersetuju untuk mengatakan yang cemburu
retrospektif ini tidak sama seperti OCD. Ia nampak seperti sama, tetapi ia
tidak sama. Ia tidak sama kerana OCD ini mampu dirawat secara mudah(tak mudah
sebenarnya, tetapi ia lebih mudah berbanding kecemburuan retrospektif), kerana
kebanyakan perkara yang membuatkan pesakit OCD ini berasa tidak selesa, adalah
sesuatu yang boleh diselesaikan dengan mudah. Seperti yang aku katakan pada
perenggan-perenggan sebelum ini, kecemburuan retrospektif bukanlah boleh
diselesaikan dengan perbuatan semata. Ia perlu diselesaikan melalui keteguhan
hati dan minda. Diulang, kau tidak boleh kembali ke masa lalu.
Akan tetapi, kau sendiri tahu yang sebanyak mana pun kekasih kau meyakinkan
kau yang kau adalah kepunyaan dia semata, kaulah yang paling dia cinta, tiada
yang lain, ia tidak akan pernah cukup. Tidak akan pernah.
Memanglah kau akan berasa lega apabila kau membuat kekasih kau mengatakan
yang kau lebih baik daripada bekas kekasihnya, tetapi, kelegaan kau itu tidak
akan lama, kerana kecemburuan retrospektif ini akan datang semula. Sampai bila
kau mahu kitaran ini berulang kembali? Setiap hari? Setiap minggu? Setiap
bulan? Setiap tahun? Dan kau ingat kekasih kau itu tidak akan berasa rimas ke
apabila aku sentiasa rasa tidak selamat berada dalam hubungan dan kau langsung
tidak percayakannya yang sekarang ini sedang sayangkan kau? Silap-silap, dia
akan tinggalkan kau kerana kau terlalu asyik memaksanya begitu.
Oleh kerana itulah aku selalu nasihatkan penghidap-penghidap kecemburuan
retrospektif ini untuk berhenti bercakap atau berbincang atau mengambil tahu
akan masa lalu kekasih/pasangan. Bukan ‘kadang-kadang’ atau ‘sekali ini saja’,
tetapi tidak langsung. Jangan ambil tahu langsung akan soal dia bersama dengan
bekas-bekas kekasihnya. Ya, jangan ambil tahu langsung.
Daripada kau cari kekasih kau untuk meyakinkan kau yang kau tidak perlu
risau akan hal masa lalunya lepas tu kau akan didatangi kecemburuan
retrospektif semula, bagaimana jika kau mula guna cara ini setiap kali
‘tayangan wayang gambar kekasih kau bersama bekas kekasihnya’ datang?
Dengan bertanya diri kau, “Adakah bayangan itu satu fakta atau imaginasi
semata-mata?”
Adakah kau betul-betul duduk di satu bilik yang sama dengan kekasih kau dan
bekas kekasihnya, melihat setiap perbuatan itu?
Tidak, bukan?
Adakah kau berada di sebuah bilik dengan cermin tembus pandang dan mencatat
segala perbuatan kekasih kau dan bekas kekasihnya?
Tidak, bukan?
Tayangan-tayangan di dalam kepala kau itu hanyalah satu imaginasi kau
semata. Dan jika benar apa yang diceritakan oleh kekasih kau itu adalah satu
fakta dan dia betul-betul meyakinkan kau yang dia tidak menipu, ia tetap tidak sama
dengan apa yang berada dalam kepala kau kerana kau tidak berada dalam bilik
yang sama dengannya.
Metode 4
Tulis surat kepada kekasih kau tetapi tidak hantarkan
padanya, dan balasan oleh kekasih kau yang ditulis oleh kau.
Ini adalah latihan yang aku pelajari dalam online course yang aku pernah
masuki. Selain Metode 1 – 3, cara ini adalah cara yang paling berkesan untuk
memulihkan diri kau daripada kecemburuan retrospektif ini. Kenapa aku tidak
meletakkan cara ini sebagai cara yang pertama? Kerana aku mahu kau memperoleh
kebolehan menyembuhkan diri daripada kecemburuan retrospektif ini melalui
latihan mental dan spritiual berbanding latihan fizikal.
Akan tetapi, aku mahu tegaskan yang latihan ini perlu dilakukan secara
peribadi. Jangan, diulang, jangan sesekali beritahu kekasih/pasangan kau akan
latihan yang kau buat ini. Ini adalah satu cara kau untuk mengalahkan
kecemburuan retrospektif yang berlegar-legar dalam minda kau.
Jadi, ya, cara latihan ini adalah;
Kau perlu tulis dua surat. Satu surat untuk kekasih kau(jangan berikan pada
kekasih kau), dan satu lagi, surat balasan kepada surat kau tadi. Surat balasan
ini adalah sebuah surat yang konon-konon ditulis oleh kekasih kau, tetapi
sebenarnya ia ditulis oleh kau.
Langkah 1 :
Fikirkan mengenai kekasih kau. Bagaimana dia menyakitkan hati kau?
Bagaimana kisah-kisah lalunya menyakitkan hati kau? Bagaimana ayat-ayatnya
menyakitkan hati kau? Bagaimana raut dan ekspresi wajahnya menyakitkan hati
kau? Ya, sekarang ini sedang tidak puas hati dengan kekasih kau. Fikirkan apa
yang kau membuatkan kau marah/sedih pada kekasih kau. Tak mengapa, kalau
kebencian kau itu meluap-luap sehingga akan keluar carutan dan makian kepada
kekasih kau, jangan risau. Tiada siapa yang akan menghukum kau. (Kerana itu
juga aku tidak mahu latihan kau ini sampai pada pengetahuan kekasih/pasangan
kau, kerana dia mungkin akan menghukum kau atas apa saja yang kau fikirkan
mengenainya.)
Langkah 2 :
Tulis surat kepada kekasih kau. Ceritakan dan luahkan segala kemarahan,
kesedihan dan ketidakpuasan hati kau padanya. Tulis sejujurnya, walaupun kau
tahu dia tidak akan membaca surat ini. Jangan tinggalkan satu pun poin-poin
yang membuatkan perasaan kau itu adalah perasaan kau yang sekarang. Selepas
selesai kau tulis surat, turunkan tandatangan pada surat itu. Letakkan tarikh
sekali.
Langkah 3 :
Jawab surat tadi semula. Tulis kata-kata yang kau mahu dengar daripada
kekasih kau. Tulislah apa pun – baik ia adalah satu rayuan, permohonan maaf,
penyesalan, atau apa saja yang menyelesakan hati kau; apa saja yang boleh
membuatkan kau berhenti rasa sedih, marah, bingung, tidak puas hati. Sekali
lagi, jangan tinggal walau satu pun perkara yang buat kau akan menyesal
kemudian hari kerana tidak menulisnya. Dan ya, turunkan tandatangan pada surat
itu dengan nama kekasih kau. Tarikh jangan lupa.
Langkah 4 :
Tunggu paling kurang seminggu, kemudian kau baca surat kedua itu yang kau
tulis dengan nama kekasih kau sebelum kau tidur setiap malam. Itu sahaja.
Untuk memastikan yang latihan ini berjaya, kau perlu pastikan yang pertama;
kau jujur-sejujurnya apabila kau menulis. Jangan simpan. Kau jujur pun, bukan
orang baca pun kan? Rileks. Yang kedua, kau mesti bersedia untuk melepaskan
segala emosi negatif kau.
Itulah empat metode untuk menyelesaikan masalah kecemburuan retrospektif
ini. Ada banyak lagi metode-metode yang boleh diguna sebenarnya. Cukuplah aku
berikan empat. Empat metode ini pun bukan main panjang lagi aku huraikan. Aku
harap kau boleh selesaikan masalah kau ini. Ia tidak mudah tetapi tidak juga susah.
Kau perlu yakin yang kau berkebolehan untuk menyelesaikan masalah ini sendiri.
Dan ya, kerana itu juga aku masukkan ‘empati’ dalam topik ini sekali.
Kerana kau perlu mempunyai pasangan yang boleh merasa empati akan masalah kau
ini. Supaya dia sama-sama membantu kau sembuhkan diri daripada masalah ini.
Bukan hanya duduk diam membatu, tidak membantu dan rimas pula apabila kau
seringkali meluahkan ketidakselesaan kau akan hal masa lalunya.
Semoga berjaya!
Ulasan